March 27, 2017
Harapan Saya tentang #TN50

Kira-kira 26 tahun yang lepas, ketika Perdana Menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad membentangkan pandangan 30 tahun ke depan Wawasan 2020nya, saya baru sahaja duduk di bangku persekolahan, darjah satu, di Sekolah Kebangsaan Sungai Kantan. Tanpa ada sebarang pandangan politik, saya melihat Wawasan 2020 adalah satu pandangan optimistik saya terhadap negara saya, Malaysia.

Tetapi, semakin saya melangkah dewasa, saya melihat Wawasan 2020 yang diaspirasikan oleh Perdana Menteri ketika itu, mempunyai kelemahan dari segi keseimbangan dan pelaksanaannya. Diantaranya ialah terlalu menumpukan terhadap pelajar sains, dan secara halus merendahkan martabat pelajar seni dan sastera.

Saya bercita-cita menjadi seorang penulis sejak saya berusia darjah satu lagi. Menjadi peminat buku siri penyiasatan seperti Lima Sekawan oleh Enid Blyton, saya merasakan jiwa sastera adalah jiwa saya. Malangnya, sastera yang ada disajikan kepada saya pada ketika itu semuanya kelihatan usang dan “tidak mesra orang muda” macam saya. 

Semasa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan Transformasi Nasional 2050 (TN50), saya melihat ini adalah satu jalan, mungkin harapan bagi penulis novel seperti saya. Bagi saya, yang bosan dengan pencitraan serta kelangsungan jalan-jalan cerita yang ada di negara ini, seperti drama Melayu suamiku-suamiku, atau drama ustaz yang sibuk menjadi ortopedik moral, orang muda seperti saya merasakan ini sangat membosankan, dan melihat pada alternatif lain seperti Hollywood dan drama bersiri Korea.

Siri-siri drama yang disajikan oleh Barat seperti House of Cards, atau Game of Thrones, seringkali tidak menunjukkan nilai-nilai moral sebagai satu perkara utama yang harus ditonjol-tonjol ke kepala kami. Watak Francis Underwood bersifat Machiavellian, so be it - kami faham apa kejahatan yang dilakukan oleh watak itu. Tapi dari situ kami memahami bahawa penceritaan yang jujur dan tanpa berselindung adalah seni penyampaian cerita yang sebenar, berbanding terus cuba menyumbatkan kami dengan nilai-nilai moral tanpa membenarkan kami sebagai penikmat cerita untuk berfikir.

Saya menulis di sini tidak bersifat pesimistik terhadap TN50, bahkan saya melihat ini adalah peluang terbaik kami - selaku penulis dan pengarang cerita untuk menaikkan seni dan sastera negara ini. Saya mendengar kata saudara Khairy Jamaluddin, selaku Menteri Belia dan Sukan yang mahu agenda TN50 ini digerakkan secara ‘bottom up’ dan bukannya ‘top down’ - jadi saya dari bawah ini mahu menyuarakan pandangan kami, pengkarya-pengkarya serta penulis seni tentang apa yang boleh dilakukan untuk seni dan sastera negara kita untuk menjadi lebih baik, lebih terbuka dan lebih kreatif.

1. Mempromosi Malaysia melalui pop culture kita ke seluruh dunia

Kita harus mencontohi industri filem dan drama Korea Selatan yang kini sudah berjaya menakluki dunia dengan pop culture mereka. Dengan populasi 50 juta orang penduduk, pencapaian Korea Selatan dalam bidang pop culture seharusnya dikagumi dan dicontohi oleh kita. 

Semasa Jepun menyebarkan pop culture mereka melalui anime dan muzik J-Pop mereka sekitar awal 90an melalui Captain Tsubasa, Slam Dunk dan Sailormoon, serta karya-karya mereka di seluruh dunia, mereka dapat mengatasi masalah kemelesetan ekonomi mereka selepas economic bubble bust sekitar tahun 1991. Walaupun mereka menghadapi zaman pasca perindustrian mereka dengan getir, tetapi pop culture Jepun berjaya menjadikan Jepun masih relevan pada dunia dengan kreativiti mereka.

Korea Selatan meniru gaya Jepun dan sekitar lewat 2000an menyaksikan kebangkitan mereka dalam pop culture. Dan pada tahun 2012 ketika kemuncak kegemilangan K-Pop, apabila Oppa Gangnam Style mendapat 1 billion views dari Youtube, K-Pop menjana $AS 204 juta pada 2012 berbanding $AS 21 juta pada 2010 - peningkatan 10 kali ganda dalam masa dua tahun.

Jika Korea Selatan ada K-Pop dan Jepun ada J-drama, kenapa Malaysia tidak boleh ada M-pop?

2. Menggalakkan penulis-penulis untuk bukunya ditranslasi ke bahasa asing

Saya merupakan penulis novel yang aktif sejak 2009, dan buku saya yang paling popular ialah Awek Chuck Taylor dan Lelaki Eksistensial. Awek Chuck Taylor pernah dipentaskan di PJ Live Arts dan mendapat sambutan hangat - jualan tiket sold out dalam masa dua hari, sehingga terpaksa ditambah waktu pementasannya. Dan walaupun penonton yang hadir majoritinya orang Melayu, terdapat juga penonton dari mereka yang dari negara luar seperti dari United Kingdom dan Amerika Syarikat. Ada juga dari Jepun, dan ada syarikat televisyen dari Taiwan pernah berura-ura untuk mencari karya-karya dari sini untuk diterjemahkan dalam bahasa mereka. Karya saya adalah salah satu daripadanya, tetapi oleh kerana tidak ada bantuan dari pihak atasan, hal itu tidak dapat dilaksanakan.

Cuba bayangkan, kita dapat mempromosi negara kita melalui penulisan kita ke negara asing, dan dunia luar dapat mengenali kita melalui karya seni dan sastera kita. Jika Gabriel Garcia Marquez dapat mempromosi Colombia melalui penulisan surrealnya, mengapa kita tidak boleh mempromosi tulisan Ridhwan Saidi, Maria Isabella atau saya sendiri di seantero dunia?

3. Menjadikan seni sastera sebahagian dari Strategi Laut Biru Kebangsaan

Hari ini kita melihat pemain industri besar dalam perfileman seperti Marvel dan Disney memperoleh keuntungan berbillion dolar Amerika melalui siri komik dan filem francais seperti Star Wars. Dan industri perfileman di Korea Selatan juga menjana ratusan juta dolar kerana mereka mempunyai peminat setia bukan sahaja di Korea Selatan, tetapi di seluruh dunia. Bahkan Bollywood juga sudah mengubah gaya filem mereka seperti pengarah-pengarah filem seperti Aamir Khan yang berjaya menaikkan industri perfileman mereka.

Kita juga harus berani mengubah gaya dan langkah kita dalam memastikan industri perfileman kita juga menembusi pasaran antarabangsa. Sampai bila kita hanya bergantung kepada pasaran tempatan, yang juga terpaksa bersaing dengan filem-filem antarabangsa?

Saya melihat sebagai contoh, filem J-Revolusi mempunyai nilai komersial yang cukup baik jika dipromosikan ke serata dunia. Begitu juga dengan pembikin-pembikin filem seperti Rewan Ishak yang mempunyai bakat yang boleh diketengahkan di seluruh dunia. Sampai bila kita harus bergantung pada pasaran tempatan?

Strategi laut biru - mengikut apa yang saya faham - ialah merancang jauh untuk meluaskan pengaruh dari segi komersial serta nama baik negara. Tidakkah ini serampang dua mata bagi memastikan kita memperoleh keuntungan dan memperkenalkan seni sastera Malaysia di seluruh dunia?

4. Mempelbagaikan genre dan gaya bahasa untuk diketengahkan ke peringkat mainstream

Seringkali saya merasa bosan dan menongkat dagu serta mengeluh apabila saya menonton drama di negara kita. Semua jalan cerita sudah boleh dijangka dan saya merasakan masa saya terbuang sia-sia begitu sahaja kerana skrip yang ditulis seolah-olah seperti melepaskan batuk di tangga. Bukan sekali, tetapi berkali-kali saya merasa begitu. Bukan tidak ada novel atau skrip cerita yang baik, tetapi ia tidak diketengahkan kerana alasan “tidak menepati ciri-ciri Lembaga Penapisan Filem (LPF)”. Pada akhirnya, LPF ini, for lack of a better word, mengskemakan dan membosankan drama filem.

Saya berharap agar TN50 agar serius dalam hal ini supaya rakyat kita merasa bangga dengan produk filem kita. Pada zaman kegemilangan filem Melayu circa 1950-60an, ketika Tan Sri P. Ramlee tidak takut untuk kreatif, hasil karyanya masih dinikmati sehingga hari ini. Masih dibangga dan dipuja. Bahkan P. Ramlee tidak takut untuk menceburi pelbagai jenis genre dan gaya bahasa untuk diketengahkan.

Saya berharap agar LPF tidak lagi melayan penduduk negara ini seperti kanak-kanak kerana pada hari ini juga, kanak-kanak mampu mengakses Internet seperti orang dewasa. Censorship is so yesterday. Untuk memajukan industri filem negara, kita harus terbuka dan harus bersifat matang dengan keluasan seni sastera.

5. Menjadikan industri seni dan sastera sebagai bidang yang serius - bukan hanya untuk glamor semata-mata

Saya merupakan graduan seni teater dalam bahagian penulisan skrip di Universiti Sains Malaysia circa 2005-09. Sementara saya melihat ramai rakan-rakan yang sekelas dengan saya tidak menjadi pelakon, pengarah, atau penulis skrip, sebaliknya ada yang jadi wartawan, ada yang jadi guru sekolah, ada yang jual Tupperware, dan ada yang masih menghadapi kehidupan yang sukar seperti berniaga nasi lemak.

Tidaklah saya merasakan semua itu teruk - tetapi tidakkah anda semua merasa sayang, dengan ilmu teater yang mereka pelajari itu, mereka tidak dapat melaksanakannya hanya kerana mereka tidak mempunyai rupa, atau kabel?

Saya melihat pemilihan pelakon pada hari ini terlalu bergantung pada sejauh mana rupanya boleh dijual - tetapi banyak pelakon yang ada, ada yang tak boleh berlakon pun dapat role utama. Sedangkan ada ramai lagi bakat yang telah belajar bagaimana untuk berlakon, tetapi mereka tidak memperoleh ruang dan peluang yang sama seperti mereka yang hanya tahu mengejar glamor ini?

Saya berharap tulisan ini adalah sebahagian dari kertas cadangan pelan untuk mentransformasikan industri seni dan sastera di negara ini untuk menjadikan ia lebih baik. Semoga dengan tulisan ini, diharapkan pihak saudara Khairy Jamaluddin serta pihak TN50 dapat membincangkan perkara ini dengan lebih serius dalam usaha membantu penulis skrip, novelis, pelakon, pengarah filem, penyanyi, penulis lagu dan lirik, pemuzik serta mereka yang berkorban sepenuh hati demi seni di tanah air yang dicintai ini.

Nami Cob Nobbler (Nomy Nozwir) 

  1. tehtarikgelasbesar posted this